OBJEKTIF

Merumus,Merancang dan Melaksanakan Dasar-Dasar Pembangunan,Pengurusan Pentadbiran dan Perkhidmatan selaras dengan Dasar Pembangunan Negara(DPN).

MISI

Menyediakan perkhidmatan perbandaran yang efisien terbaik dan berakauntabiliti dengan berlandaskan Tonggak 10 dan Wawasan 2020.

VISI

Menjadikan perbandaran terus maju dengan berorientasikan teknologi terkini dan pengekalan alam semulajadi dengan pusat pelancongan yang unggul.

Latar Belakang

Daerah Kuala Langat terletak di sebelah barat daya Negeri Selangor dan bersempadan di bahagian selatan dengan Daerah Klang dan di bahagian barat dengan Daerah Sepang. Sebahagian daripada Daerah Kuala Langat terletak di persisiran Selat Melaka.

Penubuhan Daerah

Asal usul Kuala Langat dikaitkan dengan sebatang sungai yang bernama Sungai Langat. Menurut sumber lisan, ada pendapat mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan Minangkabau yang membawa maksud “air hangat”. Dikatakan bahawa pedagang-pedagang pada masa lalu menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan perhubungan. Mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama kelamaan kawasan persekitarannya disebut sebagai Kuala Langat.

Tapak asal bandar ini terletak di Jugra yang dahulu dikenali sebagai Bandar Temasya. “Langat” dipercayai dibuka oleh orang-orang Bugis yang datang dari Johor pada abad ke-18 untuk menjalankan perdagangan dengan Melaka. Jugra dikatakan sangat terkenal pada zaman Keagungan Kesultanan Melaka. Dari segi Sejarah, Daerah Kuala Langat mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal Negeri Selangor. Pada pertengahan abad ke-18, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor adalah terletak di Kuala Selangor. Perpindahan dari Kuala Selangor ke Jugra berlaku pada tahun 1859 iaitu di zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad. Baginda merupakan Sultan Selangor ke-4 yang memerintah pada tahun 1857-1898.

Sejak itu, Bandar Temasya (Jugra) telah dikenali sebagai Bandar Diraja dan memainkan peranan penting dari segi politik, sosial dan pembangunan ekonomi di Selangor. Keadaan ini banyak dibantu oleh kerana kedudukan daerah ini yang berhampiran dengan pantai dan muara sungai, yang mana amat sesuai dengan sistem pemerintahan yang berasaskan pengangkutan sungai dan laut. Dengan kedudukan kawasan yang terletak di muara Sungai Langat serta berhampiran dengan Pulau Carey, kawasan ini dianggap selamat dan dimudiki hingga ke kawasan hulu bagi tujuan perniagaan, perdagangan dan petempatan. Ini telah menarik perhatian penduduk-penduduk kawasan berhampiran seperti pedagang pedagang dari Sumatera dan Bugis.

Lokasi

Daerah Kuala Langat dibahagikan kepada dua kawasan pentadbiran iatu di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat seluas 62.924 kilometer persegi dan selebihnya adalah di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat.

Bandar atau pekan Banting merupakan pusat pentadbiran, perdagangan dan perindustrian bagi Kuala Langat. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hanya mengambil masa 30 minit masa perjalanan dan dari Klang mengambil masa kira-kira 45 minit. Bandar ini mempunyai keluasan 1,7773 hektar dengan jumlah penduduk sekitar 30,000 orang.Terdapat 4 (Empat) pintu masuk ke dalam Daerah Kuala Langat iaitu:

  • Dari Klang melalui Jalan Klang Banting.
  • Dari Sepang melalui Jalan Tanjung SepatB(Jalan Pantai)
  • Dari KLIA melalui Jalan Bukit Changgang/Labohan Dagang.
  • Dari Putrajaya melalui Jalan Dengkil.

Terdapat tujuh (7) mukim dalam Daerah Kuala Langat, iaitu:

  • Mukim Teluk Panglima Garang.
  • Mukim Tanjung Dua Belas 1.
  • Mukim Tanjung Dua Belas 2.
  • Mukim Morib.
  • Mukim Kelanang.
  • Mukim Bandar & Jugra
  • Mukim Batu



 

Blog Template by Adam Every. Sponsored by Business Web Hosting Reviews